«

»

May 21

CABARAN PENDIDIKAN SILANG BUDAYA

konsep Pendidikan Silang Budaya sebenarnya sudah dilaksanakan
Konsep Pendidikan Silang Budaya sebenarnya sudah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan di sekolah. utusan/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN
MOHD. MAHZAN AWANG

09 Februari 2016 6:05 PM

MENGINTEGRASIKAN penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar sosiobudaya adalah cabaran semenjak kemerdekaan negara. Menyedari hakikat itu, pelbagai konsep dan kempen ke arah pengintegrasian telah dilakukan seperti identiti nasional, bangsa Malaysia, jati diri kebangsaan sehinggalah kepada 1Malaysia.

Kesemuanya mengarah kepada impian untuk menyatukan penduduk pelbagai latar belakang dalam acuan kewarganegaraan yang menjadi aset utama kepada kelestarian ketamadunan yang sedang dibina ini. Dari segi lain pula, kepelbagaian etnik di Malaysia turut menjadi produk pelancongan serta sering digembar-gemburkan sebagai model kesepaduan sosial untuk rujukan dalam pengurusan kepelbagaian penduduk.

Sejarah telah menunjukkan bahawa hasrat tersebut dirangka dengan rapi dan sistematik terutama dalam bidang pendidikan. Penggubalan kurikulum standard, penubuhan Sekolah Wawasan, pengenalan pembelajaran bahasa ketiga, Rancangan Integrasi Murid untuk perpaduan (RIMUP) serta kurikulum untuk perpaduan adalah antara usaha-usaha yang dilakukan sejak dari dulu lagi.

Konsistensi penekanan kepada perpaduan murid dalam kerangka pendidikan negara merentasi zaman yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan adalah amat dibanggakan. Dalam kesemua pelan pendidikan semenjak kemerdekaan, usaha penyatupaduan kaum akan menjadi teras.

Sekiranya kita ditanya tentang apakah formula perpaduan di Malaysia, maka kata kunci yang perlu diketengahkan adalah ‘konsistensi komitmen untuk mewujudkan perpaduan’. Biarpun isu sekolah pelbagai aliran yang berasaskan etnik menjadi kebimbangan semenjak merdeka lagi, apa yang dicapai pada hari ini adalah sedikit-seba­nyak hasil kepelbagaian persekolah­an sedemikian.

Namun, itu bukanlah satu syarat untuk kita berpuas hati dengan sistem dan struktur persekolahan di Malaysia kerana banyak kajian akademik menunjukkan bahawa hubungan etnik di Malaysia masih berkisar kepada tahap kompromi. Menyedari cabaran inilah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah membuat cadangan agar pendidikan silang budaya diberi tumpuan dalam perencanaan pendidikan kebangsaan.

Saya juga yakin bahawa aspek yang sama turut diberi penekanan oleh Kementerian Pendidikan. Di kala fokus kepada pengintegrasian kaum dalam negara diberi perhatian, perubahan dan perkembangan dunia global kian memberi kesan kepada interaksi rakyat dalam negara. Maklumat tentang budaya hidup kini kian rencam dan pantas menerusi teknologi komunikasi.

Nilai dan norma masyarakat luar mula menjadi wadah perdebatan dalam kalangan rakyat. Kerencaman maklumat dan ilmu dalam dunia maya telah mewujudkan ikat­an kepercayaan yang kuat dalam kalangan masyarakat.

Hasilnya, ikatan sosial yang kompleks dan berada dalam konteks sebenar mula terbentuk. Maka sudut pandangan tentang hukum-hakam agama umpamanya kian kompleks. Hari ini, merekrut pengikut tidak lagi memerlukan kem latihan tetapi memadai de­ngan membina kumpulan pengikut menerusi media sosial. Jus­teru, memahami fundamental kepada budaya masyarakat luar adalah prinsip utama yang perlu diberi penekanan kepada model baharu pendidikan silang budaya.

Mana mungkin untuk menghormati cara hidup masyarakat rantau Asia Tenggara tanpa memahami nilai dan norma dalam konteks mereka. Dunia global juga turut menjadikan persoalan tentang kepercayaan kaum bukan lagi berkisar kepada amalan ritual yang lazim­nya menjadi rujukan orang awam, tetapi lebih kompleks dan mendalam. Hakikat yang perlu disedari kini adalah kita telah melewati fasa penyebaran pengetahuan pelbagai budaya. Fasa interaksi maya mula berdikit-dikit berubah kepada peng­alaman langsung sejajar de­ngan kemajuan industri pengangkutan darat, air dan udara.

Pengalaman langsung berinte­raksi dengan masyarakat pelbagai latar sosiobudaya di peringkat glo­bal telah memberi satu cabaran baharu kepada model pendidikan silang budaya yang menjadi perbincangan banyak pihak. Pengkonsepsian warga global dan tanggungjawab sebagai warga dunia mula dioperasikan. Persoalan tentang hak dan tanggungjawab warga melebari sempadan negara. Hal ini kerana keamanan sesebuah negara tidak tertakluk kepada keamanan dalam negara sahaja tetapi merangkumi keamanan serantau serta keamanan hubungan diplomasi antara negara.

Sejauh manakah kerangka pendidikan negara serta rekabentuk pengajaran dan pembelajaran di pelbagai peringkat dan tahap persekolahan sensitif kepada perkembangan ini? Perlu disedari bahawa, fenomena sebegini sebenarnya te­lah lama berlaku di Eropah sehingga memunculkan Kesatuan Eropah yang disimbolikkan menerusi pe­ngenalan mata wang Euro.

Adakah mungkin kesepakatan ASEAN berpotensi mewujudkan satu kesatuan negara yang memiliki kedaulatan masing-masing tetapi diikat kuat menerusi ekonomi serantau yang diwakili de­ngan penggunaan mata wang khas ASEAN? Tanda-tanda ke arah itu mula wujud biarpun amat perlahan, namun tidak mustahil. Maka, model pendidikan silang budaya bukan sahaja perlu berkisar kepada hubung­an inter etnik malah mula bersifat global terutamanya pengintegrasian kepelbagaian etnik di rantau Asia Tenggara.

Yakinlah bahawa bukan kepelbagaian etnik yang menjadi cabaran tetapi menguruskannya secara bersama yang menjadi cabaran. Untuk tujuan itu, rasa kebersamaan dalam hal ini memerlukan strategi yang lebih serius. Adakah mungkin untuk Malaysia memimpin negara anggota untuk menerapkan elemen kurikulum silang budaya ASEAN dalam sistem pendidikan di negara masing-masing?

DR. MOHD. MAHZAN AWANG ialah Pensyarah Kanan Sosiologi Pendidikan di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/cabaran-pendidikan-silang-budaya-1.188228#ixzz5GBQXtOVR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>