«

»

May 21

Pendidikan silang budaya erat hubungan kaum patut disegera

SARANAN untuk mengadakan pendidikan silang budaya dalam sistem pendidikan negara bagi mempertingkat perpaduan kaum yang kian rapuh bukan sahaja perlu dialu-alukan.

Ia juga hendaklah dilakukan segera memandangkan wujudnya polarisasi kaum yang serius di sekolah, institusi pengajian tinggi dan tempat bekerja akibat pengasingan etnik yang dibenarkan dalam sistem pendidikan kita.

Sebenarnya pendidikan sedemikian tidak pun diperlukan jika sistem pendidikan kita mewajibkan percampuran etnik. Pergaulan Ini kerana pergaulan n yang bermula di sekolah rendah itu akan terus berkekalan sehingga dewasa kelak atas dasar kanak-kanak yang belajar bersama-sama sewaktu kecil didapati akan mengekalkan persahabatan itu apabila besar dan sampai ke tua pula.

Namun dengan tiadanya sistem begitu yang bukan sahaja menggalakkan pergaulan, tetapi yang sememangnya mampu mewujudkan perpaduan secara semula jadi, pendidikan silang budaya ini sangat diperlukan. Walaupun ia mungkin dipelajari sesetengah pihak untuk tujuan ujian dan peperiksaan semata-mata, sekurang-kurangnya ia akan mendedahkan pelbagai persamaan dan perbezaan cara hidup rakyat Malaysia yang berlainan warisan budaya itu di tiga wilayah berbeza.

Erat hubungan etnik

Pendedahan ini penting bukan sahaja untuk mewujudkan toleransi dan penerimaan, ia juga diyakini dapat mempererat hubungan etnik di negara ini. Ini keranaPengetahuan yang akan membawa kepada pemahaman mengenai budaya kaum lain akan memaparkan dinamika pelbagai budaya yang akan mempermudah kita semua bergaul antara satu sama lain. Selain itu, ia juga akan mengurangkan buruk sangka, kejutan budaya dan salah konsep selepas kita mula mengenali sesuatu kaum lain.

Kesempatan berinteraksi terhad dalam kalangan kita akibat sistem pendidikan yang jumud dan pergaulan bebas kerana tidak pernah wujudnya persahabatan mesra yang terjalin sewaktu persekolahan dahulu, sebenarnya adalah masalah besar yang menyebabkan kita semua tidak ikhlas ketika bergaul antara satu sama lain untuk mewujudkan tahap perpaduan baik.

Masalah ini akan berkurangan, malah akan hilang terus apabila golongan muda kita bergaul untuk kenal mengenali mulai di sekolah rendah lagi. Oleh itu, sistem pendidikan kita yang membenarkan pengasingan etnik yang berlaku pada usia muda itu, hendaklah dirombak. Sehubungan ini, bukan sahaja sekolah vernakular dan agama yang terbabit secara langsung, sekolah kebangsaan juga tidak terkecuali kerana ia yang sepatutnya membekalkan pendidikan nasional sudah tersasar. Kini sekolah kebangsaan didapati lebih banyak membekalkan pendidikan Melayu Muslim.

Oleh itu, perlu ada penstrukturan semula atas sekolah kebangsaan, sekolah agama dan sekolah vernakular supaya pendidikan nasional itu diberi keutamaan oleh semua pihak untuk melahirkan anak bangsa yang dapat memperlihat identiti nasional Malaysia yang sama secara tersurat. Ini pasti akan terjadi dengan mudahnya apabila pendidikan nasional yang mementingkan bahasa Melayu, sejarah negara dan warisan tradisi dalam bentuk pendidikan silang budaya, merupakan asas pendidikan negara yang utama, bukannya pendidikan etnik di sekolah vernakular dan pendidikan kerohanian di sekolah agama.

Dampak sosial ini pasti dapat memperlihat identiti nasional diterapkan dalam identiti peribadi golongan muda selepas mereka menerima kepercayaan, nilai dan aspirasi identiti nasional Malaysia melalui pendidikan nasional itu. Identiti nasional ini perlu dipupuk secara sedar dan tegas dalam sistem pendidikan negara. Ini penting bukan sahaja kerana ia dapat memupuk perasaan keterikatan kepada negara, pengungkapan identiti nasional pada rakyat sebenarnya adalah sikap positif patriotisme.

Papar identifikasi kaum

Dengan pendidikan nasional diberi keutamaan paling signifikan, seperti yang berlaku pada banyak sistem pendidikan negara lain, kita pasti akan melihat rakyat Malaysia yang dapat mempamerkan identifikasi yang cepat lagi mudah dengan negara ini dalam kehidupan seharian mereka, iaitu fasih berbahasa Melayu yang merupakan bahasa negara dan bersikap sederhana sesuai dengan Malaysia sebagai negara berbilang kaum.

Dengan ada semua ini, baharulah kita boleh dianggap sebagai sebuah komuniti nasional Malaysia yang memiliki perasaan positif terhadap negara, selain mempunyai sentimen kewajipan terhadap kebajikan semua kaum di tiga wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Sosialisasi identiti nasional melalui pendidikan nasional ini pasti akan memberi sumbangan agam kepada keharmonian dan kesejahteraan perpaduan negara dan integrasi nasional yang sangat diperlukan di Malaysia.

Penulis ialah Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia dan EXCO Majlis Profesor Negara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>