«

»

May 25

Sarana Ibu bapa-Penyediaan Suasana Pembelajaran di rumah

Penyediaan Suasana Pembelajaran di rumah

 

  1. Perkara asas yang perlu disediakan ialah satu tempat/ruang untuk anak belajar
    1. Tempat ini boleh jadi kekal atau bukan kekal. Misalnya jika ruang rumah menjadi satu masalah, suatu ruang/sudut boleh dilapangkan dan disediakan untuk anak belajar.
    2. Keselesaan seperti suhu, edaran udara dan pencahayaan perlu diberi perhatian supaya anak dapat belajar dengan selesa.
    3. Kemudahan-kemudahan lain untuk ruang belajar ini boleh ditambah mengikut keselesaan anda.

 

  1. Perkara kedua yang perlu dipastikan ialah jadual waktu belajar/ ulangkaji anak. Kerja rumah, ulang kaji dan menelaah akan menjadikan anak anda lebih bersedia menguasai sesuatu mata pelajaran.
    1. Jadual belajar hendaklah memasukkan masa untuk kerja rumah, menelaah dan mengulang kaji semua mata pelajaran.Jadual ini perlu disediakan untuk setiap hari dalam seminggu.
    2. Adalah baik menasihati anak supaya memecahkan masa membaca kepada 20 – 30 minit disusuli dengan aktiviti menjawab soalan yang berkaitan atau membuat nota. Ini akan mengukuhkan kefahaman dan ingatan anak.
    3. Nasihatkan anak supaya menyelesaikan kerja rumah terlebih dahulu sebelum menelaah. Membuat kerja rumah juga merupakan suatu bentuk belajar.

 

 

  1. Jauhkan sebarang bentuk gangguan (bunyi, cahaya, bau, suhu, kacau ganggu) yang akan mengurangkan tumpuan anak.

 

  1. Pastikan anak anda mengemas dan membersihkan tempat belajar.

 

  1. Sekiranya anak-anak berkongsi tempat yang sama untuk belajar, ibu bapa perlu memantau supaya setiap orang fokus kepada pelajaran, supaya maa tidak dibazirkan dengan berbual kosong atau bermain antara satu sama lain.

 

  1. Buku rujukan sangat membantu. Memiliki buku rujukan (walaupun yang terpakai/telah dimiliki oleh adik-beradik lain) akan membantu anak membuat penyelidikan bagi memahami sesuatu perkara.

 

  1. Elok jika set alat tulis (pen, pensel, pembaris, kalkulator, kertas A4 dsb.)tersedia di tempat belajar bagi memudahkan anak menyiapkan kerja rumah, mengira atau membuat nota.

 

  1. Jika boleh, temankan anak anda semasa dia sedang belajar kerana kehadiran anda mengukuhkan perasaan dan mengekalkan tumpuannya. Kehadiran anda juga membantu mendisiplinkan anak-anak yang belajar di tempat yang sama. Namun begitu, perbincangan dan tunjuk ajar di antara adik-beradik amatlah digalakkan kerana ini menyuburkan kasih sayang, kerjasama dan meningkatkan kefahaman. Cuma, pupuk supaya anak dapat berdikari dan merujuk sendiri terlebih dahulu sebelum bertanya kepada orang lain.

 

  1. Benarkan anak berehat dalam suatu selang masa (misalnya selepas 45 minit atau sejam belajar). Pada masa ini anda boleh menceriakan suasana dengan menyediakan minuman dan sedikit snek.

 

 

 

Interaksi sosial dengan anak

 

  1. Perbualan dengan anak merupakan interaksi yang asas. Bualkan tentang apa sahaja. Galakkan anak bercakap dan beri tumpuan kepada apa yang diucapkan oleh anak. Sekali-sekala angguk dan sambut percakapan anak dengan perkataan “ya”, “bagus” dan sebagainya. Hadiahkan puji-pujian dan jika boleh nyatakan semula apa yang diperkatakanoleh anak dalam ayat anda sendiri. Ini menunjukkan anda mendengar dengan teliti. Elakkan suasana tegang ketika bercakap dengan anak. Anda boleh menguruskan masalah dengan sopan dan lembut  tetapi tegas. Jika ini perlu dilakukan, banyakkan bersabar dan jangan terlalu mengasak anak. Matlamatnya ialah mengekalkan interaksi dengan anak.

 

  1. Bagi anak-anak yang masih kecil, cerita yang datang dari ibu atau bapa lebih bermakna. Aktiviti ini boleh dilakukan apabila masa dan tempatnya sesuai. Bercerita tidak dihadkan kepada cerita rakyat atau cerita dari buku, tetapi penerangan tentang pengalaman diri anda, sejarah tempat dan keluarga/orang-orang di keliling anda juga boleh dijadikan penghubung di antara anda dan anak.

 

  1. Makan bersama menghidupkan kemesraan sesebuah keluarga. Sambil menikmati hidangan harian ibu bapa/penjaga dapat berbual mesra. Elakkan menimbulkan isu atau ketegangan semasa makan. Tanamkan sifat kemesraan dan memupuk kebahagiaan keluarga semasa makan. Hidupkan suasana dengan perbualan umum yang tidak “mengancam” atau mengganggu perasaan mereka yang hadir. Makan bersama merupakan pemupukan kemahiran sosial dalam diri anak dan ibu bapa/penjaga.

 

  1. Beriadah atau melibatkan anak dalam aktiviti seperti berkebun, menjahit, mengemas rumah atau bersantai akan mengeratkan silaturahim. Ikatan kekeluargaan semakin kukuh jika ibu bapa mengamalkan hubungan sihat dan saling menghormati anak-anak dan satu sama lain.

 

  1. Melalui interaksi dengan anak, ibu bapa dapat menerapkan kefahaman agama/moral, budi bahasa, adat resam, serta seni dan budaya. Ini dapat mengelak perkara-perkara tersebut daripada terhakis dan hilang.

 

  1. Kekalkan interaksi dengan anak sepanjang usia. Ini dapat mengelakkan daripada gejala jurang umur, terutama ketika anak berada pada usia remaja.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>